Kisah rumah Wardina dirompak....
Mereka merompak "perasaan selamat" saya
Selimut saya terbuka! Dibuka! YA Allah seorang lelaki
bertopeng menyuruh saya diam “SHHHHHH”katanya. “Barang kemas mana?” “Barang
kemas mana?” katanya. Tersedar saya, ini bukan mimpi lagi, rumah saya
dimasuki pencuri! Saya cuba tenangkan hati, dan menyorok muka juga tubuh saya.
Jawab saya dengan yakin “Saya tak pakai barang kemas, saya tak ada barang kemas”
Yang ada pada saya cuma cincin arwah tinggalan nenek saya. Dengan berat hati
saya membukanya, “Ini saja yang saya ada, cincin nenek saya, nah ambil” balas
saya “Saya memang tak suka barang kemas, tak pakai barang kemas” kata saya
lagi, cuba meyakinkan manusia ini bahawa rumah ini memang tiada apa yang
dicari. Seribu satu perasaan dan sejuta lagi penyataan memecut laju didalam
minda. Kenapa? Bagaimana? Apa akan terjadi? Mana anak-anak saya? Siapa
mereka? Mahu apa? Adakah saya akan diapa-apakan?
Cincin belah rotan dengan tiga butir berlian kecil, mungkin
tiada nilai yang tinggi. Namun itulah peringatan asal usul dan ‘memori’
jati diri ini. Separuh dari diri saya. Tidak tinggi dengan nilai harga,tetapi
tinggi dengan nilai jiwa. Cincin arwah Dorris Irene Wilmot yang
dipakai ketika perkahwinannya dulu. Dari Scotland ke England kemudian bersama
cincin itu juga dia berlayar bersama Leslie James Morgan Wlmot, grandpa saya,
ke Australia tatkala perang dunia ke-2. Saya sebenarnya mahu memberinya kepada
Amna satu hari nanti ,tapi apakan daya. Memori dan nilai sentimental cincin itu
amat tinggi sekali. Tidak apa, kerana memori di dalam diri tidak mungkin
dapat mereka curi.
Namun sebagaimana memori indah itu akan kekal dengan
izinNya, memori ngeri ini juga akan terus tersematl dalam diri. Seperti pita
video buruk yang rosak, gambaran kejadian berputar dan berputar kembali
dalam ingatan saya. Adakalanya bulu roma saya naik kembali, tangan dan tubuh
bergetar dengan sendiri. Wajah mereka kini sering menggangu dan menghantui
saya. Saya pasti, ianya mengambil masa untuk di’lupa’kan. Bukan lupa
sepenuhnya, namun lupakan ketakutan dan mencari kekuatan kembali. Takut, resah,
gelisah dan beribu perasaan lain, bercampur seperti dicampurnya rencah di dalam
kuali. Akhirnya, namun akhirnya gulai itu sungguh enak sekali. Akhirnya, saya
mengucap syukur Alhamdulillah. Allah mahu membersihkan kami. Musibah demi
musibah , membuatkan diri lebih dekat dengan Ilahi, “Syukur Ya Allah” “Alhamdulillah” dan “Innalillah”
bermain di bibir sejak pagi tadi.
Saya terfikir, siapakah dia insan ini, sehingga sanggup buat
begini? Mencuri demi wang ringgit semata. Ketika dipukul Ikhwan di kaki dan
kepala, mereka berkata, “Saya tak kacau orang, saya tak kacau orang” dalam
loghat Indonesianya. Ikhwan memberi amaran keapda mereka “Jangan sentuh isteri
saya”, “Jangan kacau anak saya”. Ikhwan dikejutkan ketika sedang menemani Imran
yang demam, di kamar birunya. Diikat tangan suami tercinta. Setelah Ikhwan
menjerit, mengharapkan ada yang mendengar, saya kemudian tergamam ketika
perompak itu berkata “Sini, sini” cuba membuka selimut saya.
Saya berjanji pada diri ,sekiranya orang ini cuba mengapakan
saya, saya akan bermatian sehingga nafas terakhir, memepertahankan maruah saya.
Saya juga wanita Aceh, darah pejuang mengalir di dalam badan saya. Rupanya Eka
saudara saya dari Aceh yang kini membantu saya ditarik dari kamarnya dibawah
keatas dan disuruh bersama saya didalam selimut. Saya memeluknya.
Anak-anak saya? Di mana mereka? Saya tertanya-tanya. Saya
berikan dan letakkan keselamatan diri mereka kepada Allah sepenuhnya. Saya
yakin mereka selamat. Doa saya setiap lepas solat adalah supaya Allah
memelihara mereka, kerana mereka bukan kepunyaan saya, mereka milik Allah. Saya
yakin pasti ada diantara doa saya didengari. Saya pasti! Saya yakin! Tidak lama
kemudian terdengar tangisan Imran.
“Imran!!! ” jerit saya, tanpa membuka cadar. Ikhwan
masuk bersama Imran ke kamar saya. Saya pegang badan panas Imran, dia masih
demam, dan Imran terus teresak-esak dalam pelukkan saya. “Naughty man, Ummi”
kata Imran pada saya. “Dia hit ayah Imran” katanya. “Imran tak de sword, Imran”
katanya. Allah, sucinya anak ini. Belum mengerti apa pun. Ini bukan filem atau
kartun anakku.Sword Imran tak akan mungkin membantu. Satu ketika dahulu,
perompak-perompak ini juga pernah suci dan comel sepertinya. “Ya Allah
pelihara anakkau” bisik saya dalam hati. Tidak lama selepas itu, Amna dan
Azra dengan senyap memasuki cadar saya. Kami bertiga memeluk erat sesama
sendiri. Sekali-sekali saya mengusap Eka disebelah saya. Saya harus berani
untuk mereka. Saya tiba-tiba merasakan Ikhwan duduk dikaki saya. Alhamdulillah
kami semua ada bersama.
Sekali lagi selimut saya ditarik, seorang lagi lelaki
bertopeng bertanya “Barang kemas mana?” Ikhwan berkata “Jangan sentuh dia,
dia tak ada tudung” MasyaAllah, begitulah suami saya menjaga kehormatan saya.
Dalam saat ini pun dia tidak mahu sesiapa pun melihat ‘hak’nya. Saya amat
berbesar hati ketika itu. Maka kerana itulah luluh jantungnya melihat gambar
saya dahulu di’post’ sesuka hati di alam maya. Kasihanilah saya dan dia.
Janganlah buat begitu lagi ya? Pelihara aib orang lain supaya aib anda dan
keluarga juga dijaga. Percayalah janji Allah itu benar, ini bukan janji
manusia.
Sekali lagi saya menjawab membalas pertanyaan
peromapak ini, “Saya tak pakai barang kemas, saya tak suka barang kemas” Ikhwan
mengalih perhatiannya kepada laci dihadapan. “Sini banyak barang mahal” tunjuk
Ikhwan. Manusia ini menggeledah laci tadi yang sebetulnya cuma termuat aksesori
lama. Rantai, gelang kayu, brooch yang dihiasi permata palsu.
Ya, saya tidak punya apa! Saya bukan penggemar emas dan intan permata.
Seorang lagi rakannya berhenti dihadapan rak buku kami.
Itulah harta saya, buku yang tersusn rapi. Rak demi rak buku didalam kamar.
Itulah saja ‘harta’ saya. Ilmu itu emas bagiku. Tak mungkin perompak ini
mengerti! Berdirinya dihadapan rak buku itu, dia seolah keliru. Tidak tahu lagi
apa harus dibuat dan kemana harus dituju. Dihampiri rak diatas meja tulis, disitu
penuh dengan buku lagi, dengan buku nota yang amat berharga bagi saya, segala
nota kuliah, seminar dan persidangan ada disana. Saya yakin tidak akan mereka
sentuh sama sekali! Juga tersusun di rak itu Quran-Quran saya. Sampainya dia
memegang Quran berwarna hijau muda, Ikhwan berkata “Quran tak nak?” memerli
sinis dirinya. Dia cuma diam.
Ikhwan mula membaca Ayatul-Kursi dengan nada tinggi. Dia
menyuruh Ikhwan diam. Mungkin tergetar juga hatinya. Saya mengikut. Al-Falaq
menyusul.
"Katakanlah wahai Muhammad “Aku berlindung kepada
Allah Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk”
"Dari bencana makhluk-makhluk yang ia diciptakan” “
"Dan dari bahaya gelap apabila ia
masuk”
“Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus
pada simpulan-simpulan”
“Dan kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan
dengkinya”
(Quran, Al-Falaq:1-5)
Saya, Amna dan Azra memabcanya berulang ulang dengan penuh
yakin. Akhirnya semua ini milik Allah jua “Ya Allah yang memiliki hati manusia, timbulkanah perasaan gentar dan
tidak selesa didalam jiwa mereka” doa saya dalam hati. Saya cuma mampu
berserah, dan ketika ini terasa makna ketawhidan Illah yang begitu
tinggi memuncak di dalam sanubari. Secara tiba-tiba, terdengar motor pak jaga
di luar rumah saya. Perompak menyuruh kami diam. Tidak lama selepas itu, mereka
beredar. Rupanya Farah anak gadis Pak Fauzi Marzuki, jiran belakang saya
ternampak kelibat penyamun ini dari jendelanya. Dan siapakah yang
menggerakkannya untuk nampak rasanya? Ya Benar! Allah SWT.
Air mata saya menitis. Thank you Allah. Kuasa keyakinan
itu amat tinggi sekali. Keyakinan bahawa Allah akan bersama orang-orang yang
mahu bersamanya. “Ingatlah Aku dan Aku akan mengingatimu” Saya cukup
yakin. Janji Allah benar. Ini bukan janji manusia.
Amna masih trauma, sejurus setelah mereka keluar, setelah
polis dan jiran bersama kami. Amna terus muntah. Satu reaksi fisiologi yang
biasa bagi kanak-kanak yang trauma. Muntahnya hijau, namun lebih hijau lagi
emosinya. Saya akan cuba membina keberaniannya kembali. Satu pertanyaan Amna
yang membuatkan saya terhenti. “Why did they do that Ummi?”
Saya terdiam. Bagaimana harus saya jawab pada anak kecil
ini? Ya benar kita semua dilahirkan fitrahnya suci dari dosa. Jawapan saya pada
Amna di artikel seterusnya! Ianya untuk anda fikirkan juga.
Yang masih trauma,
Wardina
*ni aku copy paste dari FB Wardina Safiyyah
0 comments:
Post a Comment
wow!!!!!ada orang nak komen....terima kasih awak =)